|
31 Mei 2012
AFFINBANK Tawar Khidmat Tambahan Pelaburan ASNB Dalam Talian
Kuala Lumpur, 31 Mei 2012 : Affin Bank Berhad (AFFINBANK) secara rasminya telah melancarkan perkhidmatan terbaru dalam talian 24 jam iaitu, 'Khidmat Tambahan Pelaburan Unit Amanah ASNB' menerusi laman perbankan sesawangnya affinOnline.com. Dengan pelancaran ini, AFFINBANK merupakan antara empat bank di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan dalam talian 24 jam yang membolehkan para pelanggan melakukan transaksi tambahan pelaburan unit-unit dana ASNB pada bila-bila masa.
"Dalam era digital ini, kemudahan transaksi dalam talian lebih digemari berbanding kaedah konvensional, iaitu berurus niaga di kaunter. Adalah tepat pada masanya kita melangkah ke hadapan dengan menawarkan perkhidmatan tambahan unit dana ASNB secara dalam talian 24 jam. Ketika kita mula melancarkan kemudahan perbankan internet affinonline.com pada bulan Ogos 2008, matlamatnya untuk kemudahan pelanggan kami dan kami sentiasa meneroka perkhidmatan dan inisiatif baru. Kini dengan khidmat tambahan pelaburan dana ASNB ini, kami menawarkan akses pilihan transaksi dalam talian yang lebih luas kepada para pelanggan," ulas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AFFINBANK, Dato' Zulkiflee Abbas bin Abdul Hamid.
"Sejajar dengan minat pelanggan yang terus meningkat terhadap dana unit amanah ASNB, kami melihat peluang yang luas untuk mendidik mereka tentang kepentingan melabur dan memberi kelebihan untuk mereka mengurus sendiri portfolio pelaburan masing-masing, sebanyak mana yang ingin dilaburkan, pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada. Kami yakin perkhidmatan terbaru ini akan merubah pandangan orang ramai tentang pelaburan yang dianggap sukar dan mengambil masa yang lama", tambah beliau.
Dalam pada itu, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dato' Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata bahawa pelancaran ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan PNB untuk memenuhi mandat bagi meningkatkan penglibatan rakyat Malaysia dalam sektor korporat dan ekuiti.
"Kami amat memandang serius terhadap matlamat ini dan penawaran khidmat secara dalam talian memberi lebih kemudahan kepada pelabur adalah satu lagi langkah proaktif. Kami memegang kepada objektif yang sama ketika membantu menyediakan sistem komputer untuk Pejabat Pos pada tahun 1980-an, agar masyarakat Malaysia boleh melabur walaupun yang tinggal di pedalaman."
"Khidmat tambahan pelaburan ASNB menerusi affinonline.com yang dilancarkan hari ini, melengkapkan tiga lagi perkhidmatan dalam talian yang ada, selain lebih 1,600 ejen dan 26 pejabat cawangan ASNB di seluruh negara. Kami amat berharap agar 10.9 juta pemegang unit kami yang memiliki dana berjumlah 145.2 bilion unit akan dapat memanfaatkan perkhidmatan dalam talian terbaru ini," kata Tan Sri Dato' Sri Hamad Kama Piah.
Pengarah Perbankan Pengguna AFFINBANK, Idris Abd Hamid berkata AFFINBANK berusaha untuk menjangkau lebih ramai pelanggan dengan perkhidmatan terbaru ini.
"Objektif kami adalah untuk memberi fokus terhadap aspek kesetiaan pelanggan dengan memenuhi keperluan kewangan mereka yang semakin meningkat serta menambah lagi jumlah pengguna affinonline.com dan para pelanggan kami. Sebagai salah satu bank di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan tambahan pelaburan ASNB secara dalam talian, dan yang kedua menawarkan perkhidmatan 24 jam, kami menyasarkan 5,000 pengguna menggunakan perkhidmatan ini pada hujung tahun ini. Dalam era yang bergerak pantas, kami mencari kaedah bagi mengurangkan perkhidmatan di kaunter untuk kemudahan para pelanggan. Yang akhirnya, usaha bekerjasama dengan ASNB ini akan membantu memperkukuhkan jenama dan imej kami serta kedudukan kami di dalam pasaran," ujar Idris.
AFFINBANK kini menawarkan caj promosi sebanyak 80 sen sehingga akhir bulan Ogos 2012. Selepas tempoh ini, kadar caj biasa RM1.00 akan dikenakan bagi setiap transaksi, bermula 1 September 2012. Untuk menikmati perkhidmatan dalam talian ini, para pelanggan perlu membuka akaun AFFINBANK, mempunyai nombor ahli ASNB yang sah dan mendaftar sebagai pengguna affinOnline. Pemegang akaun ASNB sedia ada boleh melanggan dana harga tetap ASNB iaitu ASB, ASW 2020, ASM, ASD dan AS 1Malaysia menerusi saluran affinonline.com. Langganan unit dana-dana ini tertakluk kepada unit-unit yang masih ada.
Untuk maklumat lanjut, layari www.affinbank.com.my atau hubungi talian 03-5522 3000.
<kembali> |