News

News Room


AFFIN ISLAMIC Beri Pembiayaan RM130.34 Juta Kepada Gading Kencana Untuk Projek LSSPV Di Perak

KUALA LUMPUR – Affin Islamic Bank Berhad ("AFFIN ISLAMIC" atau "Bank") hari ini mengumumkan usaha sama bersama Gading Kencana Development Sdn Bhd (“Gading Kencana”) untuk Projek Solar Photovoltaic Berskala Besar 30 megawatt (“LSSPV”) di Bidor, Perak.

AFFIN ISLAMIC akan memberi pembiayaan sebanyak RM130.34 juta untuk projek tersebut selama 16 tahun yang melibatkan ladang solar seluas 98 ekar. 

"AFFIN ISLAMIC amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Gading Kencana dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam projek kelestarian tenaga di Malaysia. Kerjasama ini juga sejajar dengan strategi perniagaan Bank yang memberi tumpuan kepada kerjasama yang produktif untuk mengukuhkan asas dan kemampanan kami dalam industri perbankan Islam," kata Encik Nazlee bin Khalifah, Ketua Pegawai Eksekutif, Affin Islamic Bank Berhad.

"Kami yakin dengan usahasama pembiayaan strategik ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Pembiayaan dari AFFIN ISLAMIC telah membolehkan kami membina  Projek Solar Photovoltaic Berskala Besar 30 megawatt (LSSPV) yang akan menghasilkan 53,651,000 KW/h setahun dan menjimatkan 800,000 tan pelepasan karbon. Ia akan mewujudkan 304 peluang pekerjaan bertahap kemahiran tinggi. Mengikut tahap kelajuan pembinaan, projek ini dijangka siap pada 28 Mei 2018, rekod masa pembinaan terpantas iaitu 30MW LSSPV di rantau ini." kata Dato' Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng, Pengarah Urusan Gading Kencana Development Sdn Bhd.

Majlis menandatangani perjanjian usahasama pembiayaan strategik tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN ISLAMIC, Encik Nazlee Khalifah dan Pengarah Urusan, Gading Kencana, Dato’ Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng di Menara Affin, Jalan Raja Chulan disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan, Pengerusi Affin Bank Berhad, Y. Bhg. General Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin, Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Encik Suffian bin Haji Haron dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Affin Bank Berhad, Encik Kamarul Ariffin bin Mohd Jamil.

Kerjasama ini juga sejajar dengan hasrat negara untuk mencapai 2,080 megawatt pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui menjelang 2020 di bawah ‘National Renewable Energy Policy and Action Plan’.

- TAMAT –

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-

Raja Emylia Raja Lope Ahmad                                                                   
Ketua, Komunikasi Korporat
Affin Bank Berhad   
Tel  : +6 03 2055 9428  
Faks: +6 03 2026  1104  
Emel : head.corpcomm@affinbank.com.my
                                                                                                                                                                     
Datin Hasnah binti Awang
Executive Director
Gading Kencana Development Sdn. Bhd.
2-06-02, Blok 2, Presint Alami,
Pusat Perniagaan Worldwide 2,
Persiaran Akuatik, Seksyen 13,
40100 Shah Alam, Selangor.
Tel: (60)3-55139888; Fax: (60)3-55233661
Email: hasnah@gadingkencana.com.my


Mengenai Affin Islamic Bank Berhad

Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC atau Bank), sebuah anak syarikat milik penuh Affin Bank Berhad (AFFINBANK) telah diperbadankan pada 13 September 2005 dan beroperasi secara rasmi sebagai sebuah bank Islam mulai 1 April 2006. Pada 31hb Disember 2017, modal berbayar AFFIN ISLAMIC berjumlah RM1.06 bilion.

Sebagai sebuah bank Islam penuh, AFFIN ISLAMIC menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan Perbankan Islam yang lengkap kepada para pelanggan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Institusi, Runcit dan Korporat.

AFFIN ISLAMIC adalah antara peneraju produk-produk inovatif berlandaskan pelbagai konsep Syariah seperti Musharakah Mutanaqisah, Mudarabah, Istisna, Ijarah, Murabahah dan lain-lain.

Produk dan perkhidmatan AFFIN ISLAMIC memberikan keunikan tersendiri mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan seperti deposit, akaun pelaburan dan pembiayaan untuk memenuhi keperluan konsumer dan perniagaan.

AFFIN ISLAMIC bersama lima (5) bank Islam yang lain telah menjadi perintis Platform Akaun Pelaburan (IAP) yang merupakan platform untuk menjamin keperluan pembiayaan perniagaan, terutamanya PKS, institusi dan pelabur runcit. IAP secara rasminya dilancarkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia pada 17 Februari 2016 dan bertujuan untuk menawarkan peluang pelaburan sebagai satu lagi kelas aset di dalam dan luar negara. Ini merupakan lonjakan kuantum dalam komitmen Bank di dalam peranannya untuk memajukan perbankan Islam di dalam landskap kewangan tempatan dan antarabangsa.

Sejajar dengan Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia yang bermatlamat untuk mengubah negara menjadi hab global bagi Perkhidmatan Kewangan Islam, AFFIN ISLAMIC akan terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan secara berterusan agar dapat menghasilkan produk dan perkhidmatan kewangan baru yang mampu bersaing dalam arena kewangan di peringkat global.

Layari www.affinislamic.com.my untuk maklumat lanjut.


Mengenai Gading Kencana

Gading Kencana adalah antara nama utama dalam perniagaan Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia, mengetuai cara dengan reputasinya untuk kualiti, inovasi dan rekod projek-projek yang berjaya. Kedudukan penting Gading Kencana dalam industrinya bermula dengan asas yang kukuh. Pengurusan syarikat dan pengurusan kewangan yang bijak, bersama dengan tahap kesedaran yang tinggi dan ketangkasan untuk terus proaktif dan berdaya saing. Kepakaran teknikal yang terkemuka dan komitmen yang tulen kepada kualiti- Gading Kencana adalah pembekal perkhidmatan PV solar Malaysia pertama yang mempunyai pensijilan ISO 9001: 2008 dan OHSAS 18001: 2007. Gading Kencana telah berkembang pesat, bermula dengan penjualan lampu taman berkuasa solar kecil kepada penubuhan salah satu ladang suria yang paling efisien di dunia.

Hari ini, syarikat terlibat dalam pelbagai bidang Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga, termasuk:

  • Pembangunan Solar Berkuasa Besar
  • Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pengujian dan Pentauliahan Sistem Solar Photovoltaic
  • Perundingan Pemuliharaan Tenaga
  • Kerja-kerja Elektrik

Layari www.gadingkencana.com.my untuk maklumat lanjut.

Retail Internet Banking

Corporate Internet Banking

Contact Us

Call Centre
03-5522 3000

Tariff Charges insert_drive_file
Rates & Charges attach_money
Calculator phonelink_ring