Media Releases 2007


Mei 25, 2007

AFFINBANK Terap Semangat Ingin Cemerlang Menerusi Program Pintar di Pulau Pinang

BAYAN LEPAS, PULAU PINANG – Dalam usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbarunya, Affin Bank Berhad (AFFINBANK) telah memilih Sekolah Kebangsaan Telok Kumbar di Bayan Lepas sebagai sekolah angkat di bawah Program Pintar.

Untuk itu, satu majlis pelancaran telah dianjurkan dan disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr. Hilmi bin Hj. Yahaya, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Malaysia.

Dalam majlis itu, AFFINBANK telah menyumbang 15 unit komputer, 4 unit mesin pencetak, buku-buku latihan serta perisian komputer untuk meningkatkan minat murid-murid di sekolah itu terhadap pembelajaran. Selain itu, ia turut menyumbang yuran persekolahan dan peralatan persekolahan kepada 23 orang murid dari keluarga yang kurang berkemampuan. Ia juga akan menyediakan kem motivasi bagi murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan UPSR di Universiti Sains Malaysia dan juga kelas-kelas motivasi untuk tenaga-tenaga pengajar di sekolah tersebut.

‘Ini ialah komitmen AFFINBANK untuk membantu meningkatkan pencapaian pendidikan di kalangan murid-murid sekolah. Ia juga adalah satu inisiatif untuk menyediakan murid-murid di luar bandar kemudahan pembelajaran yang setaraf dengan kemudahan yang dinikmati oleh murid-murid yang bersekolah di bandar. Bagi kami, kedudukan geografi sesebuah sekolah itu tidak harus menjadi batu penghalang kepada kemajuan akademik dan pembelajaran juga tidak semestinya terhad kepada buku teks sahaja,’ ujar En. Ahmad Ghuzal Mohd Tahir, Ketua Pegawai Sumber Manusia AFFINBANK dalam ucapannya.

Program Pintar ialah satu komitmen yang diterajui oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu meningkatkan pencapaian pendidikan di kalangan murid-murid sekolah. Ia menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran pendidikan sebagai satu cara bagi kanak-kanak untuk menjadi lebih maju dari segi sosial dan ekonomi.

SK Teluk Kumbar telah dipilih oleh AFFINBANK berdasarkan lokasinya yang berdekatan dengan operasi Bank itu serta rekod pencapaian peperiksaan yang memerlukan peningkatan.

Untuk keterangan lanjut hubungi:

Ahmad Ridzuan Samsudin
Pengurus Media & Perhubungan Awam
Tel: 03 -2055 9428
Bimbit: 012-38000 89
Emel: ridzuan.samsudin@affinbank.com.my

 

Mengenai AFFINBANK

Affin Bank Berhad (AFFINBANK) ialah anak syarikat milik penuh Affin Holdings Berhad yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Ia ditubuhkan pada Januari 2001 susulan penggabungan antara Perwira Affin Bank Berhad dan BSN Commercial (M) Berhad pada Ogos 2000. Pada Jun 2005, ia bergabung pula dengan Affin-ACF Finance Berhad. Setakat ini, ia memiliki rangkaian 82 cawangan di seluruh Negara. Bank tersebut sentiasa meninjau semula capaian geografi cawangan-cawangannya untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan. Justeru, ia akan terus mencari lokasi-lokasi baru yang strategik bagi cawangan sedia ada dan menempatkannya semula jika perlu.

AFFINBANK menawarkan khidmat kepada pelanggan runcit dan korporat. Unit-unit perniagaan Bank itu terdiri daripada Perbankan Perusahaan, Perbankan Pengguna dan Pasaran Hutang dan Modal. Perbankan Pengguna memberikan pelanggan perseorangan khidmat kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, sewa-beli dan pengambilan deposit. Sementara itu, Perbankan Perusahaan menawarkan syarikat, pelanggan institusi dan IKS khidmat perbankan korporat, pembiayaan kontrak dan pembiayaan perdagangan. Perbankan Perdagangan berfungsi sebagai sambungan penting kepada unit-unit perniagaan yang lain dari segi hubungan dan peluang perniagaan.

Anak syarikat milik penuh AFFINBANK iaitu Affin Islamic Bank Berhad (AFFINISLAMIC) memulakan operasi pada 1 April 2006. Sebagai sebuah bank Islam, AFFINISLAMIC menawarkan barisan produk dan khidmat perbankan Islam yang lengkap merangkumi perbankan Perusahaan dan Pengguna.

Perbankan Tanpa Batasan™ melambangkan penghapusan sempadan dari semua proses serta sikapnya dalam melayani pelanggan. Layanan yang dimaksudkan ialah dari segi membantu pelanggan, memperbaiki perhubungan dengan mereka, memberikan semua pelanggan layanan istimewa dan bukan hanya segelintir serta memperbaiki mutu perkhidmatan. Pendek kata, AFFINBANK mengambil pendekatan baru kepada perbankan serta menukar wajah perbankan konvensional.

 

Mengenai AFFINISLAMIC

Anak syarikat AFFINBANK iaitu Affin Islamic Bank Berhad (AFFINISLAMIC) telah memulakan operasi pada 1hb April 2006. Sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya, AFFINISLAMIC menawarkan barisan produk dan perkhidmatan berlandaskan Syariah yang lengkap merangkumi bidang Perbankan Perusahaan dan Perbankan Pengguna.

 

- Tamat -

 

< kembali >

All contents © 2007 Affin Bank Berhad.