31 Mei 2009

AFFINBANK & KERAJAAN NEGERI MELAKA LANCAR TAMAN PERUMAHAN UNTUK RAKYAT TERMISKIN PERTAMA DI MALAYSIA

MELAKA, Ahad (31 Mei 2009) - Affin Bank Berhad (AFFINBANK), anak syarikat milik penuhnya Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) hari ini merasmikan pembukaan taman perumahan untuk rakyat termiskin pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Taman Rumahku Syurgaku (RKSK) di Kampung Tun Abdul Razak, Bukit Katil, Melaka.

Perasmian Taman RKSK tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, disaksikan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Datuk Bandar Melaka Encik Yusof Jantan serta pegawai pengurusan kanan AFFINBANK dan AFFIN ISLAMIC.

'AFFINBANK beriltizam untuk terus melibatkan diri secara langsung dalam pembanterasan kemiskinan selaras dengan moto kami iaitu Perbankan Tanpa Batasan.'

'Kami yakin usaha tersendiri kami ini akan dapat memberikan kesan yang lebih mendalam dan manfaat yang berpanjangan,' kata Jeneral Tan Sri Dato' Seri Ismail Hj. Omar, Pengerusi AFFINBANK/AFFIN ISLAMIC.

AFFINBANK telah membelanjakan hampir RM2 juta untuk membina 50 unit rumah tiga bilik dilengkapi perabot di atas tanah seluas empat hektar yang disediakan MBMB.

Taman tersebut juga menyediakan pelbagai prasarana termasuk tadika, surau, bilik bacaan dan kedai.

Kos keseluruhan pembangunan Taman RKSK ialah hampir RM4 juta.

Pemilihan asnaf fakir miskin yang layak untuk menduduki kediaman tersebut telah dibuat menerusi sebuah panel yang terdiri dari MBMB, Majlis Agama Islam Melaka, Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (PEMBELA) Melaka dan AFFINBANK.

AFFINBANK telah memperkenalkan projek pembinaan rumah untuk rakyat termiskin seperti ini sejak 2005 sebagai tunggak kepada program tanggungjawab sosial (CSR) bank tersebut.

Peruntukan yang diberikan bagi projek tersebut juga ialah yang tertinggi oleh sesebuah organisasi korporat.

'Kami berharap usaha ini menjadi ikutan oleh institusi korporat lain untuk turut sama tampil membantu kerajaan dalam menangani masalah kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.'

'Dalam pada itu, kami menyeru para penerima bantuan ini agar dapat mengubah sikap untuk berusaha dan berdikari seterusnya keluar dari belenggu kemiskinan,' tambah Tan Sri Ismail.

Setakat ini, AFFINBANK telah membina hampir 200 unit rumah untuk rakyat termiskin di Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Dalam setiap negeri di mana projek tersebut dilaksanakan, AFFINBANK telah bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Pusat Zakat negeri bagi memastikan ia berjalan lancar.

Selain pembinaan rumah, AFFINBANK menerusi persatuan kebajikannya iaitu AFFINCare turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan membaiki rumah-rumah yang musnah akibat bencana alam, membaiki sekolah-sekolah agama serta menyumbang keperluan asas kepada gologan miskin.

 

 

All contents © 2009 Affin Bank Berhad.